Announcement

Announcement Module
Collapse
No announcement yet.

Bunga Api Buluh

Page Title Module
Move Remove Collapse
X
Conversation Detail Module
Collapse
  • Filter
  • Time
  • Show
Clear All
new posts

  • Bunga Api Buluh

    Bunga Api Buluh



    BIARPUN ramai yang menyambut Aidilfitri kali ini dengan penuh kesederhanaan namun kemeriahan beraya di desa sudah tentu melakar kenangan manis apatah lagi tatkala melihat senyuman bonda tercinta sedang asyik melayan cucu-cucunya bermain bunga api.

    Dianggap pencetus suasana hari raya yang paling bermakna, permainan bunga api tidak hanya sinonim pada musim perayaan sebaliknya ia turut memeriahkan majlis keraian seperti kenduri menyambut menantu dan berendoi.

    Jika China terkenal sebagai pengeluar bunga api terbesar, di Kampung Tangga Batu, Melaka, terdapat satu keluarga yang masih menghasilkan bunga api secara tradisional.

    Bermula awal tahun 1920-an, permainan bunga api buluh dikatakan menjadi satu kemestian di majlis-majlis perkahwinan di negeri Melaka dan tradisi tersebut masih dikekalkan hingga ke hari ini, biarpun pelbagai bunga api moden dijual di pasaran.

    Bahkan, menurut generasi kedua kepada pelopor pembikinan bunga api buluh, Che Mah Tahar, 75, majlis malam berinai akan kurang berseri jika pihak tuan rumah tidak memasang bunga api.



    "Mungkin sebab itu orang kata majlis perkahwinan di Melaka meriahnya lain sedikit berbanding tempat lain.

    "Ibaratnya, jika ada malam berinai, pasti ada pertunjukan bunga api. Jika tiada, majlis itu dianggap kurang berseri," ujar Che Mah.

    Selain penduduk sekitar Melaka yang menjadi pelanggan tetapnya, wanita ini masih mengingati bapa Ziana Zain, Zain Abdullah turut membeli bunga api buluh daripadanya untuk dipasang pada majlis perkahwinan penyanyi itu pada tahun 1998.

    Pada usia emas, Che Mah masih arif mengadun bahan-bahan untuk dijadikan bahan pembakar bunga api.

    Bukan itu sahaja, ramuan adunan untuk pelbagai jenis bunga api masih segar dalam ingatannya.

    "Banyak jenis bunga api yang saya dapat pelajari daripada arwah bapa. Antaranya bunga api buluh, bunga api terbang, bunga api kelapa dan bunga api pusing," katanya.

    Bunga api pusing

    Difahamkan, bunga api kelapa dibuat menggunakan sebiji kelapa khas yang tebal sabutnya sebagai bekas belerang.

    Apabila dibakar, percikan yang dihasilkan sangat unik kerana mampu 'berkembang' hingga mencapai radius empat hingga lima meter persegi.

    "Bunga api pusing pula apabila dibakar akan berpusing dan menghasilkan percikan seperti payung kembang.

    "Tetapi selepas tembaga acuan dan penimbang bunga api dicuri orang, kini saya hanya boleh membuat bunga api buluh.

    "Saya cuba mencari acuan yang sama di banyak tempat, namun tidak pernah berjumpa," ujarnya yang tidak pernah mengalami sebarang kecederaan semasa membuat atau pun mengendalikan bunga api.

    Bercerita lebih lanjut mengenai tradisi unik ini, warisan yang diperturunkan oleh bapa Che Mah, yang lebih dikenali sebagai Khatip Padang ini sebenarnya dipelajari daripada orang-orang Jepun yang datang ke kampung tersebut sebelum Perang Dunia Kedua.



    "Saya masih ingat lagi bagaimana sewaktu kecil saya dan rakan-rakan teruja untuk melihat bapa membuat dan memasang bunga api. Ia sangat cantik," katanya.

    Kini, legasi tukang bunga api tradisional berusia hampir seabad ini diteruskan oleh anak bongsu Che Mah, Mohd. Nawi Sulong, 38.

    Walaupun semakin banyak bunga api pelbagai jenis dan bentuk yang ada di pasaran, industri belakang rumah ini masih mendapat sambutan.

    Malah, ada yang sanggup datang dari Kelantan untuk membeli bunga api buluh Che Mah. Namun, ada masanya, tempahan terpaksa ditolak lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah.

    Tidak hanya diminati oleh orang Melayu, keluarga ini turut mendapat tempahan daripada orang Cina dan India pada musim perayaan Tahun Baru Cina ataupun Deepavali.



    Dari Jepun

    Kerajaan negeri juga sering menempah sekiranya ingin meraikan pelancong-pelancong asing terutama dari Jepun.

    "Dalam seminggu, saya menerima kira-kira 100 hingga 200 tempahan dan jumlah itu meningkat hampir dua kali ganda pada musim cuti sekolah kerana ketika itu ramai yang naik pelamin," kata Mohd. Nawi yang turut berniaga daging dan barangan runcit di sekitar Tangga Batu.

    Memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk menyediakan kelengkapan membuat bunga api buluh, Che Mah dan Mohd. Nawi mengakui penghasilan bunga api yang cantik memerlukan kerja tangan yang sangat rumit.

    Mujur bahan asas yang diperlukan mudah didapati.

    "Untuk bahagian buluh, saya menggunakan buluh akar yang dicari sendiri di dalam hutan.

    "Jika tempahan banyak, saya akan mencari di sekitar kampung dan membelinya daripada penduduk setempat dengan harga RM2 sebatang.

    "Selepas dipotong pendek mengikut ruas, kira-kira tujuh inci atau 18 sentimeter (sm) setiap satu, buluh kemudian dijemur lebih kurang dua hingga tiga hari untuk memastikan bahagian dalamnya benar-benar kering.



    "Di bahagian ruas pula, satu lubang sebesar duit syiling 20 sen dikorek menggunakan alat bermuncung tirus yang dibuat sendiri menggunakan kayu pokok jambu untuk dijadikan tempat mencucuh api.

    "Setelah lubang siap dikorek, buluh kemudian diikat dengan ketat di bahagian atas dan bawah dengan tali guni atau tali rafia.

    "Ia bertujuan untuk menyerap tekanan apabila buluh dibakar selain mengelakkannya pecah," kata Mohd. Nawi.

    Tambah anak bongsu dari tiga beradik ini, setiap bunga api mempunyai adunan yang berbeza.



    Bagi bunga api buluh, bahan-bahan yang diperlukan ialah belerang, arang kayu gajus atau kayu getah, serbuk putih kalium nitrat atau lebih dikenali dengan panggilan siaw, tahi besi dan tanah busut.

    Bahan-bahan tersebut akan dijemur hingga kering sebelum boleh diayak dan digiling dengan batu sungai sehingga halus.

    "Kami masih membuat sendiri arang dengan membakar kayu gajus atau kayu getah.

    Ketuk 63 kali

    "Selepas menjadi arang, ia akan dipecah-pecahkan menjadi kepingan kecil sebelum ditumbuk dengan lesung tumbuk kayu di bangsal rumah.

    "Selepas arang halus ditumbuk, ia akan dicampurkan dengan belerang dan siaw, menjadikan warnanya hitam legam. Bahan-bahan ini boleh tahan lama.

    "Kebiasaannya, kami simpan di dalam besen bertutup dan ia akan dibungkus dengan surat khabar dalam jumlah yang kecil supaya mudah diisi ke dalam buluh.

    "Tahi besi pula dicampur semasa proses mengisi adunan bahan-bahan lain ke dalam buluh dengan menggunakan penyukat khas yang dipanggil calung," jelas Mohd. Nawi yang turut dibantu isterinya, Junita Sahat, 36.

    Proses pembuatan bunga api tidak terhenti setakat itu.

    Tanah busut dimasukkan terlebih dahulu ke dalam buluh dan dimampatkan di bahagian ruas yang dikorek sebelum bahan-bahan lain diisi ke dalam buluh.

    Apabila cukup mampat, barulah campuran belerang, arang, siaw serta serbuk besi dimasukkan.

    "Jangan isi terlalu penuh kerana ia akan ditutup dengan tanah busut sekali lagi.

    "Selepas semua bahan diisi, buluh akan dikepit di celah kaki dan saya akan mula mengetuk bahan dengan kayu jambu dan tukul khas sebanyak 63 kali untuk memastikan bahan-bahan tadi mampat.

    "Jika bilangan ketukan kurang dari 63 kali, bunga api tidak akan menjadi. Jika terlebih, bunga akan kembang lebih tinggi.



    "Selepas selesai mengetuk, tanah busut sekali lagi digunakan untuk menutup bahan-bahan tersebut. Ia juga perlu diketuk hingga mampat.

    "Nah, bunga api sudah sedia dibakar. Hanya cucuhkan putung rokok atau lingkaran ubat nyamuk, ia akan mula terbakar.

    "Syarat paling penting, selepas bunga api siap, jangan disimpan lama-lama, jika tidak kualiti bunga api akan menurun dan asap lebih banyak terhasil," katanya.


    Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/conten...a&pg=ru_01.htm
    Last edited by zack2terer; 12-09-10, 04:42 PM.

  • #2
    Re: Bunga Api Buluh

    oooooooo. asap bnyk blh halau nyamok nie

    Comment


    • #3
      Re: Bunga Api Buluh

      agak2 boleh mod jadik missile tak?

      Comment


      • #4
        Re: Bunga Api Buluh

        ketuk2 kang tak pasal2 meletup....

        Comment


        • #5
          Re: Bunga Api Buluh

          ingat lagi cousin aku kawin kat melaka lebih kurang 10 tahun lepas kot....
          ada bunga api ni...


          jadi benda ni legal ka...?
          kang ada plak yg berbunyi ckp nape makcik ni boleh jual benda ni..
          penggunaan bahan bakar yg banyak ni

          Comment


          • #6
            Re: Bunga Api Buluh

            wahhh
            lama tak tengok mende niiiii
            masa kecit2 dulu kat kampung ada org tu slalu buat
            besh gileeeeeee
            lama mende ni terbakar wwoooooo

            Comment

            Working...
            X